Khamis, 21 Julai 2016

Trip mancing cuba-cuba cari lauk..

Ramai yang bertanya mengapa saya sudah tidak kerap turun di kawasan pulau ketam dan bertukar ke teknik jigging di paloh? Jawapan saya, menimba ilmu baru adalah perlu bagi setiap pemancing dan saya juga tidak mahu melepaskan peluang yang ada. Mungkin kita menganggap lokasi sedia ada mencukupi tetapi apa yang anda tidak tahu lokasi ini semakin kurang berhasil. Mengurangkan aktiviti di tempat yang sama boleh mengurangkan masalah ini.

 
Hari ini misi mencari lauk di kawasan sangkar ikan..

 
Jika dulu saya kerap menggunakan umpan hidup dan ikan pasar sebagai umpan, kini umpan apolo menjadi pilihan. Lebih murah, lebih seronok dan paling penting ia berkesan. Ini pun hasil dari ilmu yang dipelajari dari masa ke semasa. Bukan mudah tapi berbaloi walaupun terpaksa bersusah payah bertahun lamanya.

 
Ikan Tamban apollo adalah umpan terbaik setakat ini berbanding ikan Beliak mata yang lebih lembut dan mudah di ganggu ikan kecil. Namun kehadirannya di lokasi tidak dapat dijanjikan dan apollo yang digunakan untuk menjeratnya juga tidak sama. Ikan ini mempunyai darah yang banyak berbanding ikan Beliak Mata yang hanya mempunyai bau. Jika saya diberikan pilihan antara keduanya, saya pilih ikan Tamban kerana ia lebih jimat.


Oleh kerana air jernih dan perlahan ketika ini, sasaran saya adalah spesis Kerapu yang biasa di kawasan ini. Di lokasi pertama 2 ekor berjaya dinaikkan dalam tempoh setengah jam. Umpan tamban sekor yang saya buang sisiknya.

Sambi tu jig yang saya hulurkan disambar ikan Gelama comel..

Ketika air mula berubah, saya mengubah lokasi dan berhasil menaikkan seekor lagi Kerapu yang kecil sedikit dari saiz yang pertama dan kedua. Walaupun waktu memancing hanya setengah hari, waktu yang tepat dan keadaan air yang sesuai banyak membantu mempengaruhi hasil hari ini. Rasanya sudah cukup untuk lauk seminggu sekadar selingan dari lauk sedia ada.