Membeli sampan baru tidak sama dengan membeli sampan terpakai. Banyak kerja baikpulih perlu dibuat semula supaya bot lebih cantik dan berfungsi dengan baik. Kali ini giliran Sharil pula membaiki lunas sampannya yang pecah. Seperti yang pernah saya katakan, memiliki bot bukan semudah yang disangka. Sama saja dengan memiliki kenderaan lain yang memerlukan kos dan masa untuk diselengara selalu.
Semua teritip dan lumut perlu dibersihkan terlebih dahulu sepenuhnya supaya kerja baikpulih dan mengecat boleh dimulakan. Selepas kering, barulah kawasan yang rosak, digosok dengan kertas pasir kasar sehingga lapisan cat hilang sepenuhnya. Cara ini akan menyebabkan lapisan fiber yang baru akan melekap kuat tanpa sebarang halangan.
Setelah itu, kayu diletakkan sebagai acuan kekal dibahagian dalam, ini akan memudahkan kerja menampal lapisan baru. Setelah kayu dipasang, kain fiber diletak setelah dipotong mengikut ukuran yang sesuai. Dalam kes ini, kami melapisi bahagian rosak dengan 3 lapisan berselang seli. Lapisan pertama disapu gam sehingga meresap, kemudian lapisan ketiga dan keempat dengan proses yang sama. Proses ini perlu dibuat kerana gam tidak akan meresap sekiranya 3 lapisan fiber di lekat sekaligus dan ruang udara yang terbentuk akan mengurangkan kekuatan fiber yang dibentuk.
Lubang kedua yang lebih kecil juga menggunakan proses sama seperti yang tadi.
Lapisan kain fiber yang telah keras..
Setelah selesai dan mengeras, kertas pasir kasar digosok semula bagi melicinkan permukaan yang kasar. Sisa habuk yang akan menutupi permukaan tidak rata akan membantu meratakan permukaan setelah gam disapu sekali lagi. Setelah selesai digosok, gam disapu sekali lagi dan dibiarkan kering sepenuhnya. Campuran cecair pengeras perlu tepat supaya kerja menyapu gam sempat dihabiskan sebelum gam kering. Silap campur, sekejap saja dah keras.
Setelah selesai, cat Antifouling untuk bot disapu sehingga menutupi semua bahagian perut sampan. Cat ini bertujuan mengurangkan pertumbuhan teritip dan lumut ketika di dalam air. Cat ini boleh mengurangkan kos membuang teritip sekitar 3 ke 4 bulan mengikut keadaan air di kawasan tempat sampan anda diletak. Sekiranya hampir dengan kawasan laut yg masin dan sampan sentiasa berada di dalam air, pertumbuhan teritip lebih cepat. Sekiranya air tawar dan jauh dari laut, maka lambatlah teritip tumbuh. Ada juga kes dimana tiada langsung pertumbuhan teritip sekiranya jauh di laluan sungai yang tawar airnya.
Siap saja mengecat, air telah mula pasang dan sampan telah di telentangkankan sekali lagi dengan proses sama seperti yang mula. Kerja membaikpulih ini berlangsung selama dua hari dan sekiranya anda pandai, sehari saja sudah mencukupi. Sampan ini menggunakan enjin Yamaha 40hp petak jenis lama. Pembaikan ini menelan belanja hampir rm300 saja dan akan meningkatkan kualiti penggunaannya kemudian hari. Sekadar perkongsian ilmu dari kami untuk anda..