Isnin, 18 April 2016

Membaik pulih Transom..

Sampan atau bot yang sudah lama tidak digunakan biasanya sering terendam di dalam air. Kadangkala bertahun lamanya tanpa ada usaha untuk diperbaiki. Samada enjin telah rosak, pemilik meninggal dunia atau sudah tidak berminat untuk turun ke laut lagi. Hasilnya ada bahagian tertentu yang mula mereput dan akhirnya terbiar begitu saja. Antara bahagian penting yang biasanya rosak adalah Transom atau bahagian belakang bot untuk meletakkan enjin.

Enjin Yamaha 40hp memang berat untuk diangkat, salah satu cara terbaik adalah dengan menceraikan bahagian bawah kotak gear supaya lebih ringan dan mudah di bawa balik.

Kerosakan ini boleh dikesan ketika anda meletakkan enjin di bot. Ia boleh diuji dengan mengetuk bahagian yang reput dengan kayu atau tukul besi dan bunyi lompong akan kedengaran, petanda bahawa bahagian kayu yang di dalam sudah reput dan tidak boleh digunakan lagi. Kalau anda malas dan tidak perihatin, inilah masa paling sesuai untuk enjin anda menjadi tukun di laut.

 Setelah enjin dibawa balik, ukuran diambil terlebih dahulu supaya mudah mencari kayu yang sesuai untuk digunakan nanti. Dalam kes ini saya bercadang meletakkan hanya 2 keping kayu sahaja memandangkan lapisan fiber yang ada memang tebal dan kuat. Jika mengikut aturan sebenar, kayu perlu dimasukkan sehingga ke bahagian bawah supaya lebih kukuh. 

 Kalau anda perasan, kayu pada bahagian dalam sudah reput sepenuhnya..

 Kayu jenis Resak adalah terbaik untuk tugasan ini memandangkan ia lebih keras dan kukuh berbanding dengan plywood yang menjadi bahan asal buatan bot ini. Kos adalah salah satu faktor mengapa plywood digunakan dan ini membuktikan sampan ini bukan ditempah khas oleh pembelinya. 

 Kayu yang digunakan berukuran 1.5 x 4.5 2 keping yang di nipiskan pada bahagian hujung supaya muat ketika dimasukkan semula kedalam acuan dinding fiber tersebut.

 Oleh kerana tiada bekalan elektrik berdekatan, pahat adalah alatan terbaik bagi tugasan ini. Sedikit ilmu pertukangan dari ayah dapat saya gunakan hari ini.

 Setelah bahagian atas dibuang, kayu yang telah reput dicungkil keluar sehingga ukuran kayu yang baru boleh di masukkan mengikut ukuran yang dibuat tadi. Agak rumit sedikit kerja ini kerana ukuran perlu dibuat berulangkali supaya tepat dan betul.

 Setelah kayu baru dimasukkan, barulah bahagian fiber dipasangkan skru kecil supaya ia rapat dengan kayu dan lebih kukuh sebelum dilapis dengan kain fiber dan gam yang baru.

 Ramai yang tidak tahu, menampal gam fiber yang baru ada seninya. Jika anda silap aturan dan kurang ilmu, hasilnya pasti mengecewakan. Setiap bucu tepat perlu ada ukuran yang betul supaya tidak menggelembung dan melekat kuat pada lapisan yang lama. Cat lama perlu digosok terlebih dahulu dengan kertas pasir kasar sebelum kain fiber boleh ditampal. Sekiranya ia tidak dilakukan, lapisan fiber yang baru akan lekang semula jika terkena air atau ada pergerakkan. Bahagian mendatar perlu dilapis terlebih dahulu sebelum boleh diteruskan ke bahagian sudut tepat. Susah nak saya terangkan di sini..




Setelah kering, barulah ia digosok semula dengan kertas pasir kasar dan di sapu gam semula supaya lebih licin dan kemas. Kemasan terakhir boleh dibuat dengan cat yang sesuai..