Isnin, 13 Oktober 2014

Trip 12/10 En.Arif dan Rakan

Sebelum ini, En.Arif pernah menempah trip bersama kami, namun trip tidak dapat diteruskan atas sebab tertentu. Deposit masih tetap dibawa ke depan dan tidak lupus begitu saja. Oleh yang demikian, satu trip baru telah diatur semula. Kali ini seramai 4 orang dan saya bawa melintasi jauh dari laluan biasa. Ia tidak membuahkan hasil sehingga umpan udang hidup yang kami bawa hampir habis. Sebagai usaha terakhir, jala digunakan untuk mendapatkan semula umpan. Terdapat banyak Ikan Belanak bersaiz kecil berjaya di perolehi dan laluan di ubah menuju ke sangkar Pulau Ketam. Hasil dari usaha tersebut, beberapa spesis berharga berjaya dinaikan.

Tidak terdapat langsung bot berlabuh di kawasan sangkar dek kerana air laju dan keruh ketika itu. Hanya ketika air mula pasang kembali, ikan mula aktif meragut umpan. Kerapu kecil 3 jari dan Tetanda adalah lesen pertama yang dinaikkan. 


Seekor Siakap akhirnya tewas pada salah satu joran milik ahli trip. Yang cemasnya joran telah pun jatuh ke dalam air tetapi sempat di capai semula. Siakap seberat 2 kg ini berjaya ditipu menggunakan umpan Belanak hidup dan mata kail kecil di bawah bot. Walaupun melompat beberapa kali, akhirnya tewas di dalam tangguk kami.


Bukan setakat ikan duri yang makan umpan Belanak kami, ketam juga tak ketinggalan sungguh pun air keruh dan laju.

 Tetanda ketika air mula laju hanya di bawah bot kami.

Hasil keseluruhan trip setelah pulang ke pengkalan.

Keadaan jerebu yang boleh dikatakan agak tebal melanda kawasan ini sejak dari pagi. Angin pula mula melanda ketika waktu petang. Setelah air mula laju, tiada lokasi sesuai untuk memancing dan kami bergerak pulang sekitar jam 6.30 petang.

Trip 11/10 Menjaring

Menjaring adalah satu lagi kaedah penagkapan ikan yang biasa kami lakukan. Hasil seperti Bawal Putih, Senangin, Talang, Daun Baru dan Ketam menjadi sasaran utama kami. Bagi yang kurang gemar memancing, boleh lah mencuba trip ini.

 
Pelampung jaring kelihatan tersusun di atas air ketika hanyut dibawa arus.

Kali ini kami menuju jauh dari laluan biasa untuk mencuba nasib. Angin kuat sekitar Pintu Gedung menyebabkan alun yang agak kuat dan menggagalkan usaha kami. Oleh kerana tiada hasil menarik, kami masuk semula ke laluan selat. Kapal yang lalu lalang menyebabkan hanya kawasan kecil di sebelah tepi pantai saja yang boleh digunakan. Laluan kapal memang banyak ikan, tetapi merbahaya bagi aktiviti seperti ni. Silap gaya jaring anda mungkin di langgar kapal yang lalu-lalang di sini.

Daun Baru dengan saiz yang agak besar.

Senangin Buih dan Tamok juga tidak ketinggalan.

Saiz jaring juga memainkan peranan penting bagi mendapatkan hasil yang disasarkan. Bukan semua jenis jaring boleh digunakan untuk tujuan yang sama. Anda perlu mempunyai kebolehan dan kemahiran mengunakan jaring ini, dari awal membeli hinggalah ketika menggunakannya. Jangan tertipu dengan kata-kata penjual atau orang yang hanya sekadar memberi cadangan. Jika tersilap, anda pasti akan kerugian kerana jaring perlu di beli dalam jumlah banyak dan harganya memang mahal.

Bawal Putih berbagai saiz.

Jaring yang kami gunakan bersaiz 3 inci 1/2, tebal benang 0.30, labuh 60 mata dan pelampung panjang. Jaring jenis ini mudah di labuh, kurang kusut dan boleh diapung atau ditenggelamkan. Selain jenis tali yang mudah dipegang, jaring jenis ini boleh memerangkap jenis ikan yang bersaiz tertentu saja. Jumlah mata yang sederhana boleh digunakan di kawasan cetek dan tali pelampung boleh ditambah jika di kawasan dalam. Namun jenis ini kurang sesuai di kawasan laut terbuka yang dalam.

Hasil keseluruhan tangkapan setelah seharian berada di laut.

Oleh kerana hasil yang diperolehi agak baik, kami pulang sekitar jam 4 petang ke pengkalan. Semua hasil dibahagi samarata dan di kongsi bersama rakan di pengkalan. Terima kasih kepada En.Azmi kerana memberikan peluang kepada saya untuk berkongsi ilmu dan peralatan.

Selasa, 7 Oktober 2014

Sekadar Informasi, Cuaca dan Jaket Keselamatan

Salam sejahtera kepada semua pemancing sekitar Port Klang. Ini ada satu info cuaca bagi anda yang ingin turun ke laut pada bulan ini. Cuaca hujan dan angin kencang kerap melanda kawasan ini sejak sebulan yang lalu. Kebanyakan hujan disusuli angin kencang pada sebelah subuh hingga terbit matahari. Kadangkala dari pagi hingga ke petang. Keadaan ini menyebabkan cuaca basah sejuk sepanjang malam. Jerebu juga kadangkala datang bersama tiupan angin. Bawa topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga kepada yang mempunyai masalah pernafasan. Sila bawa baju hujan walaupun bot mempunyai kanopi bagi melindungi diri anda.

Pada bulan lalu telah berlaku satu kemalangan diantara bot pemancing tempatan dengan pihak berkuasa tempatan. Kejadian berlaku mungkin disebabkan kecuaian bersama. Jabatan Laut telah menjalankan operasi memeriksa keselamatan setiap bot yang keluar masuk di kawasan ini. Oleh itu sila gunakan jaket keselamatan sepanjang masa bagi mengelakkan masalah berlaku. Elakkan memancing ketika jerebu atau hujan di laluan yang berisiko bagi mengelakkan kemalangan berulang. Begitu juga ketika waktu malam, sila pastikan lampu kelip dan lampu utama terang dan dalam keadaan baik sepanjang trip memancing.

Hobi memancing adalah baik dan sihat, namun keselamatan juga perlu diambil kira bagi mengelakkan kejadian tidak dingini berlaku. Pastikan anda selamat sepanjang masa. Selamat memancing dan ini sekadar informasi terkini untuk anda.

Keadaan Air Sesuai Memancing Bulan November 2014

Berikut kami senaraikan hari yang sesuai untuk memancing.

1         Air Mati Tak Berarus
2         Air Mati
3         Air Menyorong Besar
4         Air Menyorong Besar
5         Air Menyorong Besar
6         Air Besar
7         Air Besar
8         Air Besar
9         Air Besar
10       Air Besar
11       Air Besar
12       Air Besar
13       Air Mengurang
14       Air Menyorong Kecil
15       Air Mati
16       Air Mati Tak Berarus
17       Air Mati
18       Air Menyorong Besar
19       Air Menyorong Besar
20       Air Menyorong Besar
21       Air Besar
22       Air Besar
23       Air Besar
24       Air Besar
25       Air Besar
26       Air Besar
27       Air Besar
28       Air Mengurang
29       Air Menyorong Kecil
30       Air Mati

Tarikh paling sesuai untuk memancing adalah sekitar 1-5, 13-15,17-20, 28-29.

Semua informasi di atas sekadar petunjuk sahaja dan bukanlah tepat. Semuanya bergantung kepada cuaca, lokasi dan keadaan arus pada waktu yang dinyatakan. Paling penting rezeki dari Allah Ta'ala. Sedikit pengalaman sebagai pemancing di kawasan ini, kami kongsikan bersama anda.

Trip 1/10 En. Shah

Memancing di kawasan sangkar pada waktu angin kuat memang agak sukar. Lebih lagi jika angin berlawanan dangan keadaan arus air. Ini akan menyebabkan batu akan sering tersangkut dek kerana kedudukan bot yang setiasa bergerak di tiup angin kencang. Hal ini juga amat merbahaya bagi yang berada di hadapan sangkar kerana angin yang bertiup kencang ini akan menghanyutkan sauh dan menyebakan bot melekat pada sangkar. Keadaan sungguh merbahaya lebih lagi jika menggunakan bot kecil. Masalah keselamatan kepada penumpang dan pemilik sangkar sendiri.

 Trip kali ini hanya berdua saja dan meninjau lokasi sangkar pulau ketam. Banyak lokasi yang dikunjungi tidak membuahkan hasil. Hanya 1 lokasi saja yang berjaya menghasilkan seekor Ikan Merah. Hasil dari umpan ikan kembung separuh yang saya suakan rupanya di sambut seekor ikan merah bersaiz besar ini. Lokasi pancingan sekitar Kelong Greenway, itupun setelah 3 kali mengubah lokasi.

Trip berakhir dengan beberapa ekor tetuka di lokasi Labuhan Gurap pada senja hari. Selesai solat mahgrib, kami bergerak pulang ke pengkalan.

Ahad, 28 September 2014

Membantu Kerja Membersih Terowong

Sampan kecil kami 19 kaki, kini berada di Kuala Lumpur bagi membantu tugasan membersih terowong di sekitar Kg Baru. Sampan tanpa enjin tersebut telah berjaya sampai ke lokasi sekitar jam 4 petang dan berjaya di turunkan ke terowong.


Tugasan ini hanya untuk bantuan logistik sahaja. Tempoh selama sebulan bermula semalam hingga tugasan selesai.

Trip 28/9 En.Rofie dan Rakan

Trip di mulakan dengan kerja menaikkan sampan kecil kami di pengkalan. Sekalung budi dan terima kasih kepada mereka bertiga kerana sudi membantu saya menarik sampan tersebut higga ke darat. Sampan tersebut akan digunakan bagi membantu kerja-kerja pembersihan terowong di Kuala Lumpur. Trip bermula sekitar jam 10 pagi di lokasi sangkar ikan Pulau Ketam.

 Keadaan air besar ketika ini memang selaju peluru dan keruh, namun aktiviti memancing tetap di teruskan. Beberapa tangkapan kasar berjaya dibawa naik dengan menggunakan ikan sardin potong yang di beli di pasar borong pagi. Umpan belanak hidup juga yang dijala di sekitar pantai menghasilkan beberapa tangkapan. Hanya ketika air surut dan mula pasang saja ikan agak aktif membaham umpan kami.

Akhirnya barulah saya tahu ikan apakah yang kerap memutuskan perambut dan tali utama sejak kebelakangan ini. Dari 2 tarikan yang menyambar umpan, hanya 1 yang berjaya dibawa naik. 1 lagi tangkapan berjaya melepaskan diri dengan hadiah hujung joran yang patah. Spesis ikan Merah sekitar 2kg memang sukar ditewaskan berikutan keadaan lokasi memancing yang dipenuhi tali sangkar dan reba. Tetapi bagi yang berani dan rajin, insyaallah hasilnya pasti mengejutkan.