Isnin, 4 Mac 2013

Sekadar Informasi, Bot dan Enjin untuk dijual

Ini informasi terbaru untuk anda. Terdapat bot dan enjin untuk dijual sekitar kawasan Sementa dan PortKlang. Semua bot ini telah saya temui ketika aktiviti mencari pada cuti yang lepas. Berikut maklumat tersebut saya kongsikan bersama anda..

Lokasi di Sementa, Selangor
Kondisi Baik
Yamaha Enduro 30hp
Sampan Fiber 21 kaki
Kanopi Lengkap
Siap di baiki dan dibersihkan

Harga 7700

Lokasi Sementa, Selangor
Kondisi baik
Sampan Fiber Sahaja
Enjin sesuai 30/40 hp
Panjang 22 kaki 
Beserta kanopi lengkap
Harga Rm5200

Lokasi PortKlang
Kondisi baru dari kedai
Bot fiber  kosong
Panjang 26kaki Lunas

Harga Rm7300

 Ini pula sampan buatan baru dari IB FIBERGLASS 019-2454430/013-2998860
Lokasi di Sementa, Selangor.
Buatan tangan yang sangat baik.
Panjang 24 kaki dan jenis ringan.
Sesuai untuk 50Hp ke atas.
Laju dan Ringan kerana tulang juga dari fiberglass
Harga Rm7500 kosong.

Yang ini pula 26kaki 
Juga jenis ringan


Panjang 21 kaki
Jenis lunas

Terdapat juga 29 kaki masih menggunakan cara buatan yang sama. Kebanyakan pelanggan yang telah menerima botnya berada di kawasan PortKlang dan Sekitar Selangor.

Jumaat, 1 Mac 2013

Sekadar Informasi, Enjin 5hp Yamaha Untuk Dijual

Terdapat sebuah enjin 2nd hand untuk dijual. Berikut maklumat yang diterima..

5Hp
Jenis Yamaha
Kondisi 2nd tetapi sangat baik
Harga 1600
Hanya 1 unit

Kepada yang berminat sila hubungi saya secepat mungkin..

Trip 28/2 Paloh Kapal Kelanang

Tujuan trip ini adalah untuk menguji tahap penggunaan minyak dan pemanduan ke laluan kapal menaiki bot Samat. Trip yang hampir tidak kesampaian ini akhirnya di teruskan setelah Jemik(Komando_sg) turut serta bersama saya. Ambil cuti tahun katanya.. Sudah agak lama Jemik tidak turun ke Portklang. Maklumlah, cuti kami tidak sama di hujung minggu. Jadi kali ini kami mengambil kesempatan untuk menguji sendiri bagaimana rasanya bermain di kawasan luar dengan bot sekecil ini..


Untuk trip ini, kami menggunakan laluan berbeza yang tidak pernah dilalui sebelum ini. Laluan tersebut melintasi Simpang 3 Pulau Carey, Marina Resort dan keluar ke Pantai Acheh, berhadapan Angler Resort. Dari situ pula, kami terus ke boya Hijau laluan kapal. Dari boya tersebut, laluan diteruskan ke kawasan kapal berlabuh di Kelanang. Walaupun cuaca hujan pada pagi tersebut, pada petangnya amatlah baik sekali.

Risau juga lalu kat kawasan ni, kot-kot ada benda terjatuh dari atas, naya dibuatnya.. Ini adalah jambatan yang menyambungkan Pulau Carey ke Pulau Indah. Jambatan ini masih lagi dalam pembinaan.

Laluan ke Kapal berlabuh agak menyeramkan. Lebih lagi inilah kali pertama saya membawa sendiri dan mengunakan bot kecil 21 kaki berenjinkan 30 kuasa kuda. Perjalanan agak lancar tanpa ada halangan.

Cikbun yang berada di kawasan Pantai Acheh, bersepah-sepah kat sini. Habis umpan tamban kami dikerjakannya. Terdapat juga seekor Sembilang berjaya saya naikkan dengan umpan ikan potong.

Setibanya di kawasan terbabit, inilah sasaran utama kami. Malangnya apolo yang di bawa cuma 3 bungkus. Setelah tersangkut pada rantai kapal, kami hanya berjaya mendapatkan sedikit hasil untuk dibawa pulang.. Sekurang-kurangnya, trip ini banyak memberikan kami ilmu baru sebagai pemancing tegar seperti kami. Berikut maklumat berguna untuk anda.

Laluan keluar Sg Chandung ke Pantai Acheh- 30 minit
Pantai Acheh ke Kapal berlabuh-15 minit
Bekalan minyak 1 tong suku
Muatan 2 orang
Enjin 30hp Sampan 21 kaki
Ilmu,..tak ternilai harganya......


Trip 24/2 Jimah PowerPlant

Trip menimba ilmu yang terakhir pada bulan ini tidak banyak membuahkan hasil. Namun setelah berusaha, hasil yang diperolehi harus di syukuri. Seperti biasa, kami masih memilih keadaan air besar untuk mengelakkan kumpau berlebihan..

Berikut antara babak yang sempat saya rakam kan untuk anda semua..

Kelewatan Acid dan Saya disebabkan majlis penyerahan BR1M di kawasan masing-masing.. Bila dah lewat, terpaksa lah tunggu di kawasan terdekat untuk menjimatkan masa. Kawasan ini terletak di kawasan Jeti Wak Sempoh.

 Orang tengah melambai pun nak di gambar, sabar je lah..

 Satu rentapan kuat mengenai joran Eboi ketika menghanyut tetapi malangnya ikan terlepas.. Malang menimpa sekali lagi apabila joran yang sama tersangkut di dasar laut. Bagai nak gila kami menggayakannya, akhirnya berjaya diputuskan di bahagian perambut.

 Jemuduk yang berjaya saya naikkan menggunakan ikan Tamban besar, di kawasan tiang mempunyai reba. Kuatnya tarikan ikan ini, sehingga joran keras pun melentur dibuatnya..Di spot ini juga, Eboi terlepas satu tangkapan besar. Begitu juga dengan saya juga terlepas satu lagi tangkapan akibat kelalaian sendiri.

Teknik dua mata kail yang banyak membuahkan hasil..Sangkut sikit je kat bibir, untung tak lepas.

Trip bertolak pulang pada jam 7 malam dengan Ikan Tamban, Selar dan Cencaru yang berjaya di apolo ketika memancing. Selepas ini kami akan menduga perairan luar di kawasan PortKlang pula..

Ahad, 17 Februari 2013

Trip 17/2 Kelanang, Kerapu dan Jenahak Pengganti Cencaru

Sudah agak lama kami tidak turun di lokasi ini. Namun pada hari ini seperti mana yang telah dirancang, kami kembali semula untuk memburu Ikan Cencaru. Malangnya tidak sampai 20 ekor yang berjaya dinaikkan tetapi Ikan Selar pula yang menjadi mangsa. Walaupun agak sukar kerana air sudah mula mengecil, hati terubat bila Jenahak dan Kerapu berjaya dinaikkan ketika menghanyut. Berikut sedikit coretan trip pada hari tersebut.

 
Sampai di pangkalan pada jam 8 pagi, kami mengemas peralatan. Bot yang digunakan agak besar dan selesa berharga Rm300 beserta minyak dan tekong boleh memuatkan 6 orang termasuk tekong. Di tambah dengan tekong yang amat memahami.

Perjalanan keluar melewati bot-bot nelayan sambil bertanyakan umpan lebih jika ada.

 Jenahak 1 kg berjaya dinaikkan Eboi ketika menghanyut menggunakan umpan Tamban mati yang di cangkuk 2 mata kail. Hasil ini berjaya dinaikkan ketika baru 10 minit berhanyut di lokasi Kapal Besi..

 Kerapu dengan berat 2kg juga di lokasi sama kurang 10 minit selepas Jenahak tadi. Umpan dan teknik yang sama digunakan. Namun malangnya berlaku masalah kusut ketika proses menyentap joran. Hai...., ini lah akibatnya bila tak pernah memegang mesin mahal. Namun kecekapan tekong membantu bermain tali berjaya menumpaskan Kerapu ini. Tali sulam yang digunakan mampu mencederakan jari jika tidak pandai menggayakannya..

 Sebelum itu, kami berlabuh bersebelahan kapal besar bagi menunggu kehadiran arus. Ketika ini, kami sempat memancing. Ketika arus mula bergerak, terdapat tarikan kuat pada Joran Eboi, namun tangkapan terlepas berikutan kurangnya kemahiran.

 Bot ditambat pada rantai kapal bagi mengelakkan hanyut. Penggunaan sauh pada kedalaman ini amat tidak sesuai. Bayangkanlah kedalaman 45 meter, tiada siapa yang sanggup untuk menariknya termasuklah saya.

 Hasil keseluruhan termasuklah Selar dan Tamban. Kebanyakan hasil ini diperolehi di hadapan muncung kapal berlabuh. Kemungkinan besar ikan ini memakan lumut di sekeliling rantai dan perut kapal.

 Pembahagian harta sepencarian setelah pulang ke pengkalan...

Setelah membahagikan hasil, mereka ni berhajat untuk menjadikan seekor Kerapu sebagai hidangan makan malam. Kami singgah di Sebuah restoran Juwita, bersebelahan jalan raya Kg Kanchong Darat.

 Kerapu Masam Manis memang sedap..Ditambah pula dengan kailan ikan masin.. Ketika ini juga harga diskaun di berikan kepada kami kerana pemilik kedai mengenali bapa Acid. Jadi keseluruhan trip kali ini menyeronokkan dan berhasil. Kepada sesiapa yang berminat bagi menggunakan khidmat Tekong ini boleh lah berhubung terus di nombor 0126022241 En Takim.

Isnin, 11 Februari 2013

Sekadar Informasi, Enjin YAMAHA 60Hp (Telah dijual)

Ini informasi terbaru untuk anda, terdapat sebuah enjin untuk dijual.

Jenis YAMAHA
Kondisi Baru/ Keluar kotak
60Hp
Harga Rm13200
Hanya 1 unit sahaja

Kepada yang berminat untuk membeli, sila hubungi 0176298361 En.Fadzil.

Trip 11/2 Bagan Lalang, Kami Di Serang Tamban!

Salam Tahun Baru Cina kepada semua rakan pemancing dan selamat bercuti panjang. Kepada yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung, pastikan keselamatan anda dan keluarga terjaga setiap masa. Bagi kaki pancing seperti kami, inilah masa yang ditunggu-tunggu. Kalau tak ke laut, sudah tentu ke tasik, lombong, atau sungai. Jaga keselamatan anda dan rakan setiap masa. Oleh kerana cuti, kami juga merancang trip ke Bagan Lalang untuk mencari Selar dan Cencaru. Malangnya cuma seekor Cencaru dan 3 ekor Selar yang berjaya dipancing. Sebaliknya, Tamban memenuhi peti ikan kami!

 Banyaknya! Tamban pun Tamban lah...

Ketika sampai di pengkalan, tuan punya bot sudah pun bersedia meletakkan bot di gigi air berdekatan dengan tempat meletak kereta. Setelah membayar sewa dan memunggah barang, kami meneruskan perjalanan keluar melalui sungai hingga ke muara. Terdapat banyak bot berlabuh di sepanjang sungai ini. Keadaan air besar maksima menyebabkan arus begitu laju dan air keruh di sesetengah tempat. Tetapi ini tidak menghalang kami untuk turun ke laut. Kami percaya jika setiap pemancing sanggup menimba ilmu dan bersusah payah, sudah pasti ada hasilnya. Setelah berusaha, selebihnya kita serah kepada yang maha kuasa..

 Bot En Yadi yang kami sewa agak selesa dan mempunyai kelebihan dalam penggunaan minyak..


Aktiviti kami dimulakan di lokasi boya hijau yang hanya menghasilkan beberapa ekor ikan yang saya rasa bukan Ikan Selar, tetapi menyerupai ikan Kekek. Walaupun berlabuh hampir setengah jam, namun ikan yang ditunggu tidak juga muncul. Kami bergerak ke kawasan kapal berlabuh dan mengambil kesempatan untuk menyuluh. Terdapat sebuah lubang ketika menghala ke lokasi tersebut tetapi tidak mempunyai penghuni. Hanya sekadar lubang tanpa reba ataupun karang. Apabila sampai di lokasi kapal, apolo di labuh, namun masih tiada hasil. Kami berpatah balih ke tiang putih yang agak cetek dan hasil masih menghampakan. Kemungkinan besar ikan kecil belum bergerak masuk ke kawasan memandangkan air masih surut.


Terdapat 1 lagi tiang Peken yang perlu kami kunjungi untuk mencari umpan. Setibanya di situ, terdapat 3 bot yang sedang berlabuh mencari umpan. Kami menyapa bot berdekatan dan meminta izin untuk menyelit bersebelahan. Setelah melabuh sauh, aktiviti mencari umpan diteruskan. Memang banyak ikan di sini. Hampir setiap kali Apolo di labuh menghasilkan Beliak Mata dan Tamban yang rata-rata bersaiz besar.


Setelah kami dapati tiada Selar dan Cencaru, kami mengubah strategi untuk memancing dan cuba menilai situasi yang berkemungkinan berlaku. Jika tidak, pasti kejadian kumpau tempoh hari akan berulang kembali. Kami menyuluh di laluan kapal berhadapan dermaga dan mula menghanyut. Kedalaman air 40 meter agak menyiksakan buat kami yang menggunakan set kecil. Terdapat ragutan ikan kecil yang menghabiskan umpan, tetapi tiada tangkapan di bawa naik. Setelah dipersetujui bersama, kami menghala semula ke kawasan dermaga kapal dan berlabuh di kawasan tiang. Untuk memastikan kami tidak tersilap sekali lagi, penyuluhan dilakukan terlebih dahulu dan hanya reba yang mempunyai penghuni akan menjadi matlamat kami.

 

Ketika menyuluh, kami menemui 3 reba setinggi anggaran 1 hingga 2 meter berada di bawah jambatan. Kemungkinan besar sisa tiang batu yang patah atau tersilap pacak ketika pembinaan. Setelah memastikan terdapat penghuni, barulah sauh dilabuh. Lokasi pertama berjaya menghasilkan 4 ekor Tetanda, seekor Kerapu dan Tetanda di lokasi kedua.


Ketika ini, arus agak laju dan batu bersaiz 10 terpaksa digunakan bagi mengelakkan umpan hanyut ke tiang.. Untuk maklumat anda, semua hasil ini kami perolehi dengan umpan Beliak Mata yang di cangkuk 2 mata! Satu di bahagian kepala dan satu lagi di bahagian ekor. Penggunaan Tamban langsung tidak mendatangkan hasil. Kemungkinan besar bau dan kelembutan Beliak Mata lebih menyelerakan penghuni di sini. Masa yang sesuai pula ketika air surut jernih.



Setelah beberapa lama dan ikan mula berkurangan, kami menukar lokasi ke belakang kapal. Ketika ini hujan lebat telah turun di kawasan Port Dikson sehingga kawasan tebing tidak kelihatan. Eboi, Acid dan Samat bersiap sedia dengan dengan baju hujan masing-masing. Namun hujan yang dijangkan lebat rupanya hanya permainan langit. Air telah mula pasang dan arus mula berubah. Ketika itu juga kami melihat sekumpulan ikan kecil melalui kawasan tersebut. Kehadiran kumpulan ikan kecil ini menghasilkan bunyi seperti air hujan yang jatuh. Sepantas kilat, kami menyambut peluang yang datang. Acid, saya dan Samat bergilir-gilir menaikkan ikan menggunakan Apolo. Hasilnya, Tamban dan Beliak mata memenuhi tong ikan kami. Sampai lenguh tangan dan bahu kami dibuatnya..

Hasil keseluruhan trip kali ini agak membanggakan dan boleh dikatakan berjaya. Sekekor Kerapu, 5 ekor Tetanda dan sepeti Tamban. Kami bertolak pulang ke pangkalan pada jam 7 malam. Namun sempat juga ke hilir sungai sebelum itu untuk melihat Ikan Bulan yang dikatakan banyak di situ. Jika berkesempatan, kemungkinan besar kami akan kembali ke sini untuk memburu Siakap dan Bulan untuk artikel akan datang....