Selasa, 2 November 2021

Trip sangkar bertukar selat

 Cuaca buruk pada sebelah pagi mengundang rasa seram sejuk pada kami. Apa tidaknya bila memandang awan hitam di ufuk barat bersama bersama bendera yang berkibar tegak. Setelah hujan, cuaca kembali tenang dan matahari terik memancar seadanya.


Oleh kerana trip sehari sebelum sangat tidak berjaya, trip ini saya sasarkan di kawasan tukun buatan lama di kawasan selat sahaja.


Udang bersaiz kecil sangat menjadi kali ini. Banyak tangkapan baik berjaya dinaikkan. Walaupun tak sebesar mana, ia lebih baik dari tiada langsung.


Tetanda idaman yang berjaya dinaikkan disulam ikan Gelama dan Bebolos.

Seekor Kurau berjaya dinaikkan dan seekor Senangin besar berjaya melepaskan diri walaupun tangguk sudah di pegang.

Apa boleh buat, ikan lebih suka pada perambut halus. Jika silap permainan, putih la mata. Hasil keseluruhan tak banyak, tetapi hampir semua lokasi mempunyai isi.

Trip Ranggung Cencaru

 Trip ranggung atau apollo cencaru ini berjaya dijayakan dengan kehadiran lebih 15 buah bot dari Persatuan Bot Dan Rekreasi Selangor(PBRS).

Kehadiran penuh ahli seramai 4 orang pemancing.

Seperti biasa bot rakan dari jugra digunakan untuk trip ini. Memandangkan bot saya masih tidak mempunyai enjin.

Ahyie Hairi ketika pulang ke pengkalan masing-masing.


Hasil tidak banyak kali ini kerana gerombolan ikan yang ditemui hanya pada sebelah petang.

Perjalanan hampir 3 jam pergi dan 3 jam balik memang meletihkan. Hanya yang tabah dan cekal sahaja berjaya dalam trip seperti ini.

Trip jigging Pintu Gedung

 Trip kali ini menggunakan bot rakan dari jugra, disulami cuaca gelora pada sebelah pagi. Namun cuaca cerah dan tenang selepas tengahari, membawa kami ke laluan kapal. 

Hasil kerajinan dan kesabaran mereka, seekor Gerong Belang berjaya dinaikkan pada sebelah petang. Jig 40gram pada kedalaman hampir 50 meter menjadi pertaruhan kali ini. 

Ikan ini ingin dilepaskan semula, tetapi gagal. Akhirnya ia terpaksa di bawa balik. Selain itu Jenahak separuh dan beberapa tangkapan lain berjaya melepaskan diri. Banyak juga yang di cukai hasil dari kaki potong yang berlegar disekitar bukit bukau yang kami kunjungi.

Khamis, 28 Oktober 2021

Membina sampan plywood 2.

 Pembinaan sampan plywood kali ini agak terganggu disebabkan kerja lain yang bertindih. Namun ia masih berjalan lancar seperti yang dirancang. Kali ini adalah proses memasang pelampung hadapan, kotak barang dan pelampung belakang.

Semua sambungan papan disalut kain gentian kaca supaya lebih kukuh dan tidak dimasuki air.

Banyak bahagian kayu ini bersambung - sambung disebabkan kayu yang ada tidak mencukupi.


Walaupun banyak sambungan, ia masih kukuh kerana semua sambungan disalut kain dan gam gentian kaca. Ia menjadi keras dan kukuh setelah cukup kering nanti. Sambungan ini perlu dibuat di bahagian atas dan bawah kayu.





Setelah itu rangka dipasang dibahgian dalam dan bahagian atas di skru supaya tidak bergerak. Ketiga-tiga kotak ini berfungsi menjadi pelambung dan alat keselamatan sekiranya dimasuki air.


Selain itu saya memilih untuk membuat lantai penuh kedap air, supaya air yang bertakung akan keluar sendiri melalui lubang khas yang mempunyai penutup. 



Semua bahagian lantai terbahagi kepada 8 bahagian dan kesemua bahagian ini mempunyai injab berpenutup. Bertujuan menghalang air sekiranya berlaku kebocoran yang tidak diduga. Hanya 1 kotak sahaja yang kedap air, iaitu kotak tengah kerana kotak ini akan dijadikan kotak simpanan barang kering sekiranya hujan.


Injab ini boleh dibuka dan ditutup, berfungsi memberi laluan dan menghalang air.


Setelah semuanya siap, semua lubang di tutup dan disalut kain gentian kaca. Apabila kering, ia digosok dengan kertas pasir sehingga tiada sisa tajam. Akhirnya cat khas digunakan sebagai lapisan pelindung terakhir.

Sampan Kayu Replika

  Sampan ini adalah untuk pameran di satu majlis khas di Cyberjaya.


Bersama sampan ini juga disertakan bersama beberapa peralatan lain sebagai bahan sampingan. Semoga perjalanan majlis ini lancar dan berjaya!

Jumaat, 1 Oktober 2021

Jaket keselamatan (Life Jacket)

 Pada 26 Ogos 2021, saya telah jatuh di dalam bot ketika pulang selepas mencuci teritip. Hasil dari kemalangan tersebut, saya mengalami kecederaan di kedua bahagian bahu dan dagu. Saya juga gagal mengingati semula bagaimana kejadian tersebut berlaku.


Apa yang ingin saya sampaikan, jaket keselamatan mungkin telah mengurangkan kecederaan ketika saya jatuh dan melindungi sebahagian tulang belakang saya. Saya bernasib baik kerana sedar dan berjaya pulang ke pengkalan. Kesimpulannya, jaket keselamatan tersebut bukan sahaja berfungsi didalam air, malah mempunyai fungsi lain didalam bot. Jadi beli dan pakai lah ia untuk keselamatan kita!


Udang Galah Sungai Langat

 Sungai Langat adalah sungai yang besambung dengan muara Bukit Jugra dan Pulau Carey. Artikel mengenai sungai ini pernah saya tulis tidak lama dulu. Kini sungai ini menjadi syurga pemancing udang galah yang hanya diketahui penduduk berdekatan sahaja.

Saya berkesempatan memburu spesis udang ini setelah bertahun- tahun menantikan kemunculan nya. Udang galah disini, sudah mula banyak semula sejak awal pkp dilaksanakan.

Namun ia hilang kembali setelah mabuk apabila berlaku pencemaran sungai baru - baru ini. Kebanyakan udang bersaiz besar sudah turun ke bawah mendekati muara laut. Kemungkinan besar akibat kualiti air yang kurang baik.

Kesempatan ini saya gunakan sepenuhnya untuk memburu spesis ini. Banyak juga yang berjaya saya bawa pulang, hasil dari menumpang bot rakan di jugra.

Setelah seharian memancing, akhirnya kami pulang sekitar jam 7 malam dengan tangkapan dibahagi samarata. Seronok memancing harini kerana tidak penat mengarau ladung besar!