Khamis, 10 April 2014

Sekadar informasi, Teritip penyebab bot anda perlahan..

Teritip yang melekat di bawah bot boleh melambatkan pergerakan bot anda. Keadaan akan bertambah buruk apabila ia terlalu banyak. Selain penggunaan minyak yang berlebihan akibat daya tujahan yang terhalang ia juga boleh menyebabkan enjin anda mengalami kerosakan. Mengapa ini boleh terjadi?

Biasanya teritip akan tumbuh pada bawah bot dan bahagian sisi yang sentiasa terendam di dalam air masin. Ia akan lebih cepat membesar sekiranya mendapat sinaran cahaya yang cukup. Teritip akan kurang pada bot yang berada di atas pasir pantai. Dengan kata lain, sekiranya bot anda berada lebih lama di darat berbanding di dalam air, Teritip akan kurang. Begitu juga dengan bot yang diletakkan jauh di dalam sungai. Air tawar yang turun dari hulu ketika air surut, akan mengurangkan Teritip di bawah bot anda.

Permukaan bot yang rata dan licin, mengurangkan rintangan air ketika bergerak. Ini menambah kelajuan dan mengurangkan penggunaan minyak. Namun apabila ia di penuhi teritip, pergerakan air akan terhalang. Bot tidak akan dapat meluncur di atas permukaan air seperti biasa. Apabila pergerakan terhalang dan berat, enjin pula akan menerima tekanan. Enjin terpaksa bekerja keras akibat halangan yang berlaku. Berlaku peningkatan suhu dari yang biasa dan akan mengurangkan jangkahayat enjin anda.


Terdapat 2 cara bagi membuang teritip. Pertama, anda boleh menggunakan pelantar di pantai selepas bot anda di naikkan ketika air pasang. Samada diterbalikkan atau hanya di letakkan saja. Setelah itu, gunakan Scrapper atau alat khas sepertinya untuk mengupas Teritip dari permukaan bot. Setelah semuanya dibersihkan, proses boleh di teruskan dengan mengecat bot. Gunakan cat khas untuk bawah bot yang ada dijual di kedai perkakasan pertukangan. Tidak semua kedai ada menjual cat ini dan harganya juga agak mahal. Cat ini akan melambatkan pertumbuhan Teritip pada bot anda untuk jangkamasa panjang. Namun ia akan tetap juga tumbuh semula. Bezanya, kerja akan menjadi lebih mudah sekiranya ingin dibersihkan semula.


Cara kedua adalah dengan turun ke dalam air dan bot anda dalam keadaan terapung. Cara ini agak sukar dan berisiko terluka jika tangan terkena pada Teritip. Anda rasa dengan tapak tangan dan sodok dengan scrapper. Proses dilakukan berulang kali sehingga semua bahagian bersih. Hanya proses menanggal tanpa perlu di cat. Namun begitu keburukan cara ini ialah, Teritip akan cepat tumbuh semula berbanding dengan yang telah di cat semula. Ia juga akan lebih sukar ditanggalkan kemudian hari. Cara ini biasanya di aplikasikan pada bot yang sentiasa digunakan bagi menjimatkan masa.

Setelah kerja selesai dilakukan, anda akan merasai perbezaannya. Kelajuan akan bertambah sekitar 30% sebelum dibersihkan. Selain itu bunyi enjin yang kurang meneran dan penjimatan minyak yang ketara walaupun dengan beban yang biasa dibawa.

Memancing setelah selesai membuang Teritip..

Rabu, 9 April 2014

Trip 30/3 En.Amir

Ada yang suka memancing, hanya di kolam. Ada yang suka memancing hanya di tasik. Ada pula yang gemar memancing hanya di laut terbuka. Semuanya bergelar pemancing. Namun pemancing tegar tidak mengira di mana pun mereka memancing, asalkan ada tarikan walaupun kecil. Sekadar memenuhi hobi yang melapangkan fikiran. Kali ini giliran anak dan ayah memancing bersama.


Lokasi terdekat sekitar Pulau berhadapan pengkalan saja. 

Agak mencuit hati bila melihat telatah mereka berdua ni. 
 
Salah satu tangkapan yang berjaya dibawa naik setelah penat menunggu.


Kurau yang dicari, sembilang yang dapat dinaikkan. Jika melihat pada keadaan air, memang tidak sesuai untuk mencari spesis bersisik. Trip pulang kepengkalan seawal jam 1 tengahari.

Khamis, 27 Mac 2014

Rumah Ikan :)

Kerja-kerja melabuh tukun tayar telah berjaya diselesaikan tempoh hari. Ini bagi menambah lokasi sedia ada seperti yang telah dirancangkan sebelum ini. Idea untuk tukun tayar ini setelah beberapa kajian dijalankan berdasarkan maklumat rakan-rakan nelayan yang pernah menggunakan tukun jenis ini. Walau sebaik manapun tukun ini, masih ada keburukannya. Hanya Allah saja yang mampu membina binaan yang sempurna.

 Walaupun hanya tayar saja, bentuk masih perlu dikekalkan bagi menjadikan ianya berfungsi baik. Ukuran 2 x 2 kaki menyerupai tukun kiub yang telah di bina sebelum ini. Namun pemberat yang digunakan adalah batu saluran longkang. Bagi setiap 5 unit tukun, terdapat 1 pemberat ditengahnya. Kedudukan batu juga mesti berada mencecah tanah, supaya ia tidak hanyut dibawa arus.

 Kerja menyambung dan membentuk dilakukan di atas bot bagi menjimatkan ruang dan memudahkan pengangkutan. Kabel pengetat plastik digunakan bagi menyambung kedudukan tayar.

 Kerja ini memang sukar walaupun nampaknya begitu mudah. Dari kerja memungut tayar di kedai, membawa masuk ke bot, memang meletihkan. Pemberat pula terpaksa diangkat berdua bagi mengelakkan kecederaan berlaku.

 Kerja mengikat lebih mudah jika menggunakan kabel pengikat plastik ini. Walaupun begitu, jika tersilap langkah dan cara, tangan pasti terluka. Hampir setiap kali kerja ini dilakukan, ada saja luka kecil yang berlaku. Setiap ikatan menggunakan 3 kabel bagi menguatkan ikatan. Kabel pertama menyambung, kabel kedua mengetat dan kabel ketiga mengukuhkan ikatan. Ia perlu dibuat berperingkat supaya lebih mudah.

Akhirnya setelah 2 jam berusaha, tukun berjaya disiapkan. Ranting pokok bakau digunakan sebagai langkah terakhir menarik perhatian ikan. Tapak tukun di lapik dengan papan supaya mudah untuk di labuh. Oleh kerana terlalu berat tukun ini tidak dapat diangkat sepenuhnya. Sedikit demi sedikit akhirnya berjaya di turunkan ke air. Cara membuang tukun ini juga memerlukan kemahiran supaya kedudukan jatuhnya adalah betul dan tepat. Alhamdulillah, tukun yang yang dibina dengan begitu kasih sayang ini akhirnya selamat diturunkan.

Rabu, 26 Mac 2014

Sekadar informasi, Spot menjala terbaik bulan ini.

Spot pertama untuk lokasi menjala udang pada kali ini, Simpang 3 Pulau Carey/Tiang Gombang

Kawasan ini sesuai bagi pemancing yang keluar melalui Pandamar Indah, Sg Chandong, Teluk Nipah, Telok Gong, Pulau Carey dan kawasan sekitarnya. Percantuman 3 selat menyebabkan banyak terdapat udang di kawasan ini. Penanda utamanya adalah tiang Gombang yang berceracak di pantainya. Jenis udang yang terdapat di sini ialah udang kertas bewarna putih berbintik kecil, ekor merah besar, kulit lembut dan ekor putih besar berkulit keras. Terdapat juga anak Belanak dalam jumlah yang banyak melalui kawasan ini. Sekiranya air mati, ketika surut atau pun mula pasang walaupun jernih, masih terdapat udang di kawasan pantai yang mempunyai alur air. Jika air besar, lokasi ini adalah syurga udang. Jalalah di manapun selagi air tidak melepasi kawasan tebing yang mempunyai pokok bakau, pasti terdapat udang. Walau bagaimana pun, lokasi ini begitu cetek dan tidak sesuai untuk bot besar. Kawasan pantai ini landai dan berlumpur. Sekiranya anda terleka, kemungkinan bot tersangkut memang tinggi.

Promosi Trip Bulan April

Berikut disenaraikan promosi untuk bulan ini.

Trip Selat(Promosi)
Harga Rm250 
7 pg-7 ptg/8 mlm-8pg
Bot besar berkanopi
Muatan 4 + 1 Tekong
Umpan Sendiri(Udang hidup,Perumpun)
Laluan Tukun, Selat dan Muara Sg Berdekatan.
Spesis buruan, Gelama, Semilang, Tetanda, Tirusan

Trip Pulau Ketam
Harga Rm350 (Harga biasa)
7 pg-7 ptg/8 mlm-8pg
Bot besar berkanopi
Muatan 4 + 1 Tekong
Umpan Sendiri(Sardin,Sotong,Kembung,Udang Hidup)
Laluan Sungai, Pulau Ketam
Spesis buruan, Merah, Kerapu, Tetanda

Trip Selat(Harga biasa)
Harga Rm180 
7 pg-7 ptg
Bot Kecil tiada kanopi
Muatan 1+1 Tekong
Umpan sendiri(Udang hidup,Perumpun)
Laluan Selat, Sungai, Pulau Ketam
Spesis buruan, Gelama, Semilang, Tetanda, Duri

Trip P.Ketam(Harga biasa)
Harga Rm250
7 pg-7 ptg/8 mlm-8pg
Bot Kecil tiada kanopi
Muatan 2+1 Tekong
Umpan sendiri(Sardin,Sotong,Kembung,Udang Hidup)
Laluan sungai, Pulau Ketam dan Sangkar
Spesis buruan, Tetanda, Merah, Kerapu

Sekiranya terdapat tempahan serentak, tekong bantuan akan digunakan. Hanya tempahan dengan deposit akan diberi keutamaan.

Selasa, 25 Mac 2014

Keadaan Air Cantik Bulan April 2014

Berikut kami senaraikan hari yang sesuai untuk memancing.

1         Air besar
2         Air besar
3         Air besar
4         Air besar
5         Air Mengurang
6         Air Kecil
7         Air Mati
8         Air Mati Tak Berarus
9         Air Mati
10       Air Menyorong Besar
11       Air Menyorong Besar
12       Air Menyorong Besar
13       Air Besar
14       Air Besar
15       Air Besar
16       Air Besar
17       Air Besar
18       Air Besar
19       Air besar
20       Air Mengurang
21       AirAir Kecil
22       Air Mati
23       Air Mati Tak Berarus
24       Air Mati
25       Air Menyorong Besar
26       Air Menyorong Besar
27       Air Menyorong Besar
28       Air Besar
29       Air Besar
30       Air besar

Tarikh sesuai untuk memancing adalah sekitar 5-7, 9-12, 20-22, 24-27.

Semua informasi di atas sekadar petunjuk sahaja dan bukanlah tepat. Semuanya bergantung kepada cuaca, lokasi dan keadaan arus pada waktu yang dinyatakan. Paling penting rezeki dari Allah Ta'ala. Sedikit pengalaman sebagai pemancing di kawasan ini, kami kongsikan bersama anda.

Antara Ikan, Trip Kumpau Dan Tukun

Salam ceria kepada semua pengunjung blog kami. Terdapat banyak trip yang tidak dapat di simpan pada bulan ini berikutan peralatan sokongan yang kurang berfungsi meminta penambahbaikan. Ada juga trip yang pulang tangan kosong dengan tangkapan sekecil tapak tangan hinggalah sebesar ibu jari. Namun usaha tetap dijalankan bagi membolehkan hasil tangkapan yang diperolehi seimbang dengan kos yang dilabur.

 
 Ada banyak faktor yang mempengaruhi keadaan ini. Lokasi yang kurang sesuai ataupun rezki pemancing itu sendiri. Kerap kali hal ini terjadi, samada kami sebagai tekong ataupun ahli trip sendiri pasti akan menggaru kepala memikirkan kemana ikan-ikan ini pergi. Lokasi yang dipilih sesuai, air pula tidak sepertinya. Kadangkala air sesuai, begitu juga lokasi, arah tiupan angin pula tidak menyebelahi kami. Ada juga lokasi yang cantik, dipenuhi bot pemancing ketika hujung minggu. Kadangkala ada pula jaring di lokasi tersebut. Berbagai hal yang menjadi halangan kepada kami, adakalanya begitu mencabar kesabaran.


 Oleh yang demikian, pelbagai alat bantuan terpaksa digunakan bagi membantu pencarian ini. Antaranya set Sonar dan Gps yang kerapkali digunakan bagi memudahkan kerja. Namun kadangkalan alatatan ini juga tidak membantu. Begitu juga dengan pembinaan tukun tiruan yang memang tidak pernah kami pikirkan sebelum ini.


Pembinaan tukun tiruan memerlukan kos yang tinggi. Walaupun adakalanya sumber ini diperolehi percuma, ada banyak lagi kos sampingan yang masih perlu dikeluarkan. Kos pengangkutan misalnya memerlukan bahan bakar, masa dan tenaga. Namun kami bersyukur kerana semua anggota klik kami bekerjasama dalam menjalankan misi sukar ini. Adakalanya kami dicemuh, dipermainkan, malah ada juga yang mengangap bahawa kerja kami ini adalah usaha yang sia-sia, hanya kerana usaha yang dijalankan pihak sebelum ini menemui kegagalan. Perkara ini memang biasa didengar tetapi kami yakin suatu hari nanti, meraka akan berterima kasih malahan turut serta dalam usaha ini.


Usaha yang kami jalankan ini nampaknya sudah mula membuahkan hasil. Ada diantara tukun ini tidak sampai seminggu diturunkan, sudah mempunyai penghuni. Walaupun tidak sehebat lokasi terkenal di kawasan luar sana, hasil penat lelah kami terbalas. Jika berkesempatan, suatu hari nanti sebahagian lokasi ini akan didedahkan dan dikongsi bersama sebagai salah satu usaha pemeliharaan di kawasan ini.


Musim kemarau yang melanda negara kita, banyak mengganggu aktiviti memancing di kawasan ini. Sebagai contoh, terdapat 2 trip yang terpaksa pulang awal gara-gara mengalami gangguan pernafasan akibat jerebu tebal. Suasana tenang dan cerah ketika turun dari jeti berubah dengan asap jerebu mengelilingi bot kami ketika sedang memancing. Trip terpaksa di pendekkan serta merta bagi mengelakkan perkara tidak di ingini berlaku.


Oleh kerana mencari kelainan dan ilmu baru, kami banyak bertumpu di lokasi yang mudah dikunjungi. Walaupun agak terpencil dan kurang dikunjungi pemancing, ada juga hasil menarik yang berjaya dinaikkan. Sebagai contoh, hasil di atas  hanya diperolehi di kawasan Pulau Carey dan Pulau Indah. Ada banyak lokasi yang sebelum  ini kami pandang sebelah mata rupanya boleh memberikan hasil. Kajian selama beberapa minggu, meninjau hasil jaringan nelayan di pengkalan mengejutkan kami. Hasil yang di perolehi jauh lebih baik dari lokasi yang begitu jauh diluar dengan kos yang kurang. Tangkapan Gred A seperti Kurau, Tebal Pipi, Tetanda, Tirusan dan Siakap rupanya masih banyak di kawasan ini.

Selain dari laporan dan coretan trip yang telah dijalankankan, kami juga akan cuba sedaya upaya bagi menyalurkan pelbagai maklumat penting dan berguna untuk tatapan anda. Mungkin tidak sehebat surat khabar, buku ilmiah yang mahal atau seperti berita di televisen. Apa yang kami pasti ianya berguna dan berdasarkan segala pengalaman di lapangan. Sekiranya bertembung dengan kami di laut mahupun daratan, bertegurlah. Kadangkala bukan kami sombong tetapi untuk mengingat kesemua ahli trip yang pernah turun bersama kami rasanya tidak mungkin dapat kami ingat semuanya. 

Jangan lupa mengikuti perkembangan terkini blog kami yang tak seberapa ini. Mungkin ada banyak informasi yang berguna untuk anda. Selamat memancing!