Isnin, 13 Januari 2014

Tips memilih umpan yang baik

Salah satu aspek terpenting ketika turun memancing adalah umpan. Tanpa umpan yang baik, sasaran yang anda ingin capai mungkin tidak seperti yang dijangka. Memang benar ikan akan makan apa saja yang disuakan, tetapi umpan akan mempengaruhi hasil tangkapan anda. Berikut kami berikan sedikit tip untuk anda.


Kembung



Selar Kuning

 
Sardin

 
 Cabuk/Parang

 
 Selangat

 
Beliak mata
 
Kembung/Pelalin/Selar/Sardin/Cabuk/Selangat/Beliak mata
  •  Pastikan bahagian perut tidak hancur dan tidak mempunyai daging lembik. Jika tidak, isi ikan akan hancur berderai jika jatuh ke dalam air. Jika arus laju, kemungkinan besar umpan terlerai adalah tinggi. Anda penat menunggu, sedangkan kail anda hanya tinggal besi.
  • Pastikan saiz ikan yang dibeli tadi sesuai dengan kegunaannya. Carilah yang kecil untuk 1 mata yang tebaik. 
  •  Belian terbaik adalah di pasar borong pagi. Ketika ini banyak ikan segar dan masih baik keluar dari simpanan.
  • Harganya juga agak murah berbanding di pasar siang atau pasar malam. Kualitinya juga lebih baik.
 
 Kurita

 
 Tora
 Sotong Tora/Cumik/Kurita
  •  Pastikan sotong masih keras dan bukan yang sudah busuk atau terlalu lembik.
  • Harga mahal biasanya lebih baik berbanding dengan yang murah.
  • Pastikan bahagian kepala masih bercantum dengan badannya.
  • Pasar borong pagi adalah yang terbaik dan murah.
Perumpun Sarang/Urat
  • Masih hidup samada dalam sarang atau di dalam bekas. Terbaik jika belum dicampur dengan habuk kayu.
Udang Hidup/Udang Pasar
  • Tidak kisah jika udang kolam atau jala, yang penting masih hidup. Jika sudah mati pastikan ianya disimpan dalam kotak ais supaya tidak busuk.
  • Harga udang pasar yang mahal biasanya lebih baik berbanding udang yang murah. Kebiasanya yang mahal mempunyai isi putih dan pejal berbanding yang murah, lembik dan sudah berbau.
  • Selain pasar borong pagi, pasaraya juga terdapat udang yang baik.
Umpan busuk mengundang nyamuk dan agas jika tidak disimpan dengan betul dan ini akan mengganggu aktiviti memancing anda. Jadi pastikan anda memilih yang betul untuk mendapatkan hasil terbaik. Selamat memancing!

Ahad, 12 Januari 2014

Trip 12/1 En Bob dan Rakan

Terdapat beberapa trip kumpau sebelum ini yang rata-rata hanya dapat menaikkan spesis kecil sahaja. Mungkin bukan rezki mereka atau faktor cuaca yang mempengaruhi tabiat ikan di kawasan ini. Saya hanya mampu berusaha, selebihnya saya serah pada Allah..

Tetapi berbeza dengan trip kali ini, walaupun tidak banyak tangkapan tetapi adalah juga hasil baik dinaikkan. Trip yang cukup santai dengan umpan yang cukup-cukup saja tanpa pembaziran. Berikut antara babak yang sempat dirakamkan.

Ebek di lokasi muara sungai Pulau Ketam.. Umpan Udang Hidup..

Juga di muara yang sama..

Salah satu Tetanda besar juga di lokasi yang sama..

Merah di atas juga di lokasi sama tetapi mengunakan umpan sotong. Ikan di sangka Pulutan rupanya seekor Merah.

Antara umpan yang mendapat sambutan ialah Udang hidup dan Sotong. Satu-satunya ikan gelama yang diperolehi menghasilkan seekor Kerapu di bawah sangkar. Banyak pula yang rabut dan tersangkut gara-gara joran terlalu lembut digunakan. kami pulang ke pangkalan pada jam 7.30 malam disertai hujan gerimis. Terima kasih kerana sudi turun bersama kami.

Trip 9/1 Bersama Sahabat Lama



Trip kali ni bersama seorang sahabat lama, Tengku Sufrizal bersama rakannya En.Firdaus. Walaupun tak banyak gambar dapat dirakam berikutan kehabisan bateri. Walaupun tangkapan tidak begitu baik, seronok juga memancing dengan bot kecil. Umpan sotong dan Sardin pasar, agak menjadi kali ini.

Walaupun terdapat sekumpulan besar batu karang di atas, namun penghuninya hanya ikan Duri dan Pukat nelayan.


Bertolak jam 9 pagi, pulang jam 7 malam disertai hujan renyai-renyai. Kebanyakan tangkapan diperolehi di kawasan tali sauh sangkar.

Jumaat, 10 Januari 2014

Tukun Tiruan Untuk Dijual

Kepada yang berminat dan ingin meletakkan tukun di kawasan sendiri, boleh lah menempah tukun buatan ini dari kami.

Jenis Tukun Petak
1.2 x 1.2 kaki persegi
Boleh diangkat seorang
Harga Rm65 bagi satu unit





Jenis Tukun Petak Kecil
1 x 1 kaki persegi
Boleh diangkat seorang
Harga Rm45

Kepada yang berminat, boleh menghubungi kami..

Isnin, 6 Januari 2014

Trip 4/1 En.Din dan Rakan

Trip yang ditempah awal Disember tahun lepas berlangsung pada bulan ini. Walaupun cuaca hujan sepanjang hari, mereka ni turun pada waktu malam hingga petang esoknya. Trip malam yang penuh dugaan dengan sejuk dan arus laju melanda. Antara babak yang sempat dirakamkan untuk anda..

Ikan Sembilang yang banyak di perolehi di trip ini.

Gelama Pisang dengan umpan udang kupas. Udang saja yang laku ketika ini.

Pisang juga di lokasi sama.

Sudah lama kami tidak melihat Gelama Pisang seperti ini.

Anak Kerapu comel di lokasi kapal karam.


Ebek di lokasi terakhir sebelum bertolak pulang.

Keadaan air besar dan arus laju tidak banyak membantu trip kali ini. Air yang begitu keruh sehinggakan keladak sampah halus melekat pada tali utama. Hanya ketika air mula naik dan mula surut saja menghasilkan tangkapan. Kami bertolak pulang pada jam 6 petang ke pengkalan.

Projek Rahsia Tahun 2014

Salah satu projek yang telah hampir siap awal tahun baru ini adalah tukun buatan sendiri. Sebelum ini terdapat tukun buatan yang telah diletakkan di lokasi yang masih dirahsiakan telah berisi. Pada tahun ini, 3 lagi tapak baru yang telah dikenalpasti bakal mempunyai tukun. Sebanyak Rm3500 telah di peruntukkan bagi menjayakan projek ini. Walaupun boleh dikatakan agak besar kosnya, sesuatu perlu dilakukan segera jika mahu kawasan ini berisi semula. 

Dawai berukuran 2x2 digunakan bagi tulang tengah.

Manakala acuan kayu digunakan bagi membentuk konkrit.

Permulaan yang mudah tetapi begitu rumit.

Campuran tepat bagi mengelakkan pasir berderai di dalam air jika dilanggar arus deras.


Proses separuh siap dalam ukuran sesuai.


Tukun yang telah siap..

Saiz tukun adalah sekitar 1.2x1.2 kaki persegi untuk kawasan melebihi 3 meter surut, manakala yang kecil 1x1 kaki untuk kawasan 2 meter surut. Kebanyakan lokasi yang kami temui, langsung tidak sesuai untuk tukun jenis ini kerana keadaan permukaan tanah yang lembut. Jika tersilap letak, dalam jangkamasa panjang, tukun jenis ini bakal tenggelam di dalam tanah disebabkan terlalu berat. Untuk itu rekabentuk tukun ini telah diperbaiki sebanyak 3 kali dan ukuran sesuai dikenalpasti setelah percubaan kali ketiga. Kalis jaring, Kalis arus, tidak bergolek, mudah di angkat dan boleh ditumbuhi karang dalam masa setahun saja. Walaupun projek ini adalah yang pertama seumpamanya di kawasan ini, kami harap ianya dapat memberi sesuatu yang baik kepada pemancing semua suatu hari nanti.

Salam Tahun Baru 2014

Salam tahun baru kepada semua rakan pemancing di luar sana. Tahun 2013 yang mencabar telah meninggalkan kita. Manakala tahun baru yang menjelma, bakal menjanjikan cabaran baru bagi kita semua. Sabar dan hadapilah dengan semangat baru yang waja. Bagi kami di pancingport.blogspot berbagai cabaran telah ditempuhi walaupun pahit mahupun manis. Segalanya memberikan pengalaman yang sangat berharga, dikongsi bersama pemancing di luar sana.

Sepanjang tahun lepas pelbagai pembaharuan telah dapat dilaksanakan, manakala semua perancangan dapat dicapai hampir kesemuanya. Alhamdulillah, semuanya diatas sokongan krew pancingport.blogspot dan anda semua. Antara matlamat utama sejak blog ini ditubuhkan ialah, menjadikan Port Klang sebagai salah satu destinasi memancing yang terkenal setanding dengan nama-nama lain yang tersohor di luar Selangor. Walaupun ada yang mengatakan hal ini tidak mungkin menjadi kenyataan, bagi kami semuanya terletak di atas usaha gigih dan bukan hanya omongan kosong dimulut saja.

Dalam pada itu juga, ramai rakan-rakan pemancing yang dulu kerap turun bersama kami, kini sudah mempunyai bot sendiri. Alhamdulillah, setapak maju kehadapan dan semoga lebih maju pada tahun ini. Ini memberikan sedikit pendapatan kepada pemilik bot mahupun kutipan di pengkalan. Manakala penjual bot dapat menghasilkan pendapatan hasil dari jualan bot mereka. Putaran ini juga membantu dalam memeriahkan lagi hasil pendapatan individu yang terlibat dan secara tidak langsung melibatkan negeri dan negara kita.

Kepada yang telah memiliki bot sendiri, jadilah pemancing yang beretika. Jagalah kawasan memancing kita seperti rumah anda sendiri. Janganlah hanya mementingkan diri sendiri hingga merosakkan keindahan alam yang sedia ada. Sentiasa membina dan menjaga persahabatan diantara kita sebaik mungkin. Pelaut seperti kita, kemana pun anda berpusing, kita tetap akan berjumpa semula.

Akhir kata kepada semua peminat blog kami dan rakan-rakan pemancing, Selamat Tahun Baru 2014, semoga tahun baru ini memberikan keceriaan, kebahagiaan, kemurahan rezki dan keberkatan sepanjang masa. InsyaAllah..

"Memancing untuk kualiti, bukan kuantiti"

Ikhlas dari kami di pancingport.blogspot