Ahad, 21 Julai 2013

Trip 20/7 Pa'an Dan Rakan

Trip bertolak lewat pada jam 10 malam di anggotai 4 pemancing termasuk saya. Setelah menunggu sedikit lama di pengkalan, setelah menyelesaikan urusan saya di rumah ibu, kami meneruskan perjalanan ke Pulau Ketam. Bekalan Udang hidup rm20, ikan Sardin dan Kembung menjadi umpan kami pada malam ini. Lokasi pertama di laluan keluar bot, hanya menghasilkan 2 ekor Kerapu Singa dan Gelama sebagai pembuka tirai. Namun semangat mereka untuk memancing memang saya kagumi. Set yang di bawa juga saya rasakan kurang sesuai di kawasan ini. Namun segalanya merubah jangkaan saya setelah ikan berjaya dinaikkan.


Keadaan arus yang sudah mula laju, lokasi sangkar kurang sesuai untuk kami memancing. Lebih-lebih lagi bila waktu malam, kawasan sangkar menjadi kawasan larangan. Maka meninjau kawasan reba adalah yang terbaik. Bot, saya labuhkan di hujung pulau untuk memancing. Hampir 2 jam menunggu, hanya Tetanda, Semilang dan Gelama dapat dinaikkan. Turut serta Sesirat yang juga kerap mengganggu.

Setelah berpusing-pusing mencari kedudukan sesuai dan menyuluh, akhirnya kawasan sangkar kami tinggalkan. Saya rasakan kawasan reba di seberang lebih berpotensi. Saya cuma berusaha sekadar yang termampu, saya serahkan kepada yang Maha Berkuasa, selebihnya rezki mereka ni. Sampai di lokasi, umpan terus di labuh dan saya mengambil keputusan untuk tidur saja selepas bersahur. Keletihan melampau akibat kurang rehat dan mengantuk, sedikit mengganggu aktiviti kami. Namun mereka ni masih setia dengan joran masing-masing. Pada jam 5.30 pagi, saya di kejutkan dengan bunyi bising di hadapan bot. Rupanya seekor Siakap kecil merentap salah satu joran mereka dan ikan berjaya dinaikkan. Hanya dengan tangan, ikan di pegang dan dinaikkan ke dalam bot.

Tukang siang ikan yang terhebat pernah saya jumpa, di potong kan, kami pakai :)

Selang beberapa lama, terdengar lagi satu kekecohan. Saya terjaga dari lena dan melihat apa yang berlaku. Kesabaran mereka nampaknya membuahkan hasil. Tarikan kasar di hujung kail menunjukkan hasil besar telah meragut umpan mereka. Ikan kadangkala melalui atas kawasan reba, risau saya dibuatnya. Banyak pokok kayu berselirat di kawasan tebing yang boleh memutuskan tali perambut jika tidak berhati-hati. Namun kepakaran si pemancing memang saya kagumi. Ikan akhirnya saya gancu dan berjaya masuk ke dalam bot. Pari yang berat saya jangka melebihi 10kg berjaya dinaikkan. Terkejut saya lihat perambut dan mata kail yang digunakan. Mata dan tali perambut kecil yang sememangnya tidak sesuai untuk ikan sebesar ini.Namun kemahirannya mengendalikan joran amat saya kagumi.


Setelah cuaca semakin terang, kami menukar lokasi sekali lagi. Lokasi terakhir sebelum pulang yang saya rasakan sesuai ketika ini. Setelah sampai di lokasi, umpan di labuh dan tangkapan Kerapu pertama yang kecil berjaya saya naikkan. Setelah sejam menunggu, seekor lagi Kerapu keil berjaya saya naikkan. Namun kesabaran mereka akhirnya membuahkan hasil. Seekor Ikan Merah berjaya dinaikkan seorang lagi anggota trip dangan bantuan rakannya. Maklumlah, tali kecil untuk memancing Patin katanya, jadi kenalah berhati-hati.  Setelah joran bertukar tangan dan aksi tarik menarik berlaku, ikan berjaya saya tangguk ke dalam bot. Seekor lagi hasil gred A berjaya dinaikkan. Bukan kepalang gembiranya mereka ni. Seperti yang saya katakan, ini semua rezeki kamu.


Sedang asyik leka saya mengambil gambar, salah satu joran saya mendapat tarikan keras. Malangnya penjajar gelung yang terlalu ketat memusnahkan peluang yang ada. Perambut kasar putus pada mata kail. Tiada langsung ragutan ikan selepas itu dan kami terus pulang ke pengkalan. Walaupun tidak banyak hasil pada trip kali ini, namun saiz menjadi kebanggaan. Terima kasih kerana sanggup bersabar sepanjang malam.

Trip Belacak Ke, Tembakul??

Sudah 2 trip di buat namun tiada hasil yang diperolehi. Apa yang saya maksudkan, trip mencari Belacak atau Tembakul di sekitar pengkalan menggunakan teknik yang saya rasa pelik ini. Mr.Lim bersama En.Ramli datang kepada saya sebelum ini bagi menguji keberkesanan teknik menangkap Belacak di Thailand mengunakan bubu panjang. Hanya seekor Belacak pada trip pertama dan tiada langsung pada trip kedua. Tujuan pencarian ini katanya untuk menangkap dan menguji ketahanan ikan tersebut bagi tujuan eksport ke China. Untuk itu teknik yang sesuai perlu dicari bagi memenuhi keperluan tersebut. Hanya saiz terpilih saja akan di tangkap bagi di biakkan di dalam kolam khas. Bagi saya teknik jala dan jaring pantai lebih sesuai untuk spesis ini, memandangkan ia cukup pandai dan licik untuk ditangkap. Gelihati pun ada, hairan pun ada. Macam manalah agaknya ikan di sana boleh tertipu dengan cara ini, sedangkan di sini langsung tidak berhasil. Mengikut kata Mr.Lim, sudah tiada lagi spesis Belacak atau Tembakul ini di sana dek kerana kerakusan manusia yang tidak memikirkan tindakan mereka. Oleh yang demikian, teknik dan cara sesuai harus dipikirkan bagi mengelakkan kepupusan spesis ini di Malaysia.

Penggunaan bot kecil pada trip ini lebih mudah berbanding trip sebelum ini yang sering sangkut di pantai.


Bubu panjang yang setahu saya sesuai bagi Semilang dan Ketam.

Untuk trip pertama, saya menggunakan jala dan dapat mengumpul 25 ekor dari saiz yang besar sahaja. Walaupun penggunaan bubu dikatakan sesuai di luar negara, di sini hanya Belangkas Padi(belangkas bersaiz kecil), Sesirat, Ketam, Cikbun, Ular air, beberapa spesis ikan dan Udang yang berjaya di tangkap. Saya hanya mencari rezki atas kerja dan hanya mengikut saja mereka ni, tapi seronok juga melihat telatah Si Belacak yang keluar masuk Bubu melalui pintunya, membuktikan kelicikan dan kepandaian ikan ini :)

Khamis, 11 Julai 2013

Trip 6/7 En.Khalid dan Rakan

Kadangkala apa berlaku, tidak lah seperti apa yang kita rancang. Ini lah yang berlaku pada trip kali ini. Walaupun kadangkala dianggap pelik, semuanya telah ditakdirkan berlaku. Buat pertama kalinya, udang yang saya simpan pada sebelah pagi berada dalam perut bot, di makan beberapa ekor monyet yang nakal di pengkalan. Nak dimarah, binatang. Sudahnya jatuh atas kesilapan sendiri. Sisa udang yang hanya tinggal bahagian kepala dan hujung ekor, saya kutip untuk umpan Gelama.

Udang yang berbaki 7 ekor, saya tambah dengan menjala di sekitar pulau sepanjang perjalanan pergi. Ketika ini air sudah mula pasang dan kebanyakan udang berkumpul di muara anak sungai kecil. Hanya beberapa kali tebaran sahaja, udang sudah mencukupi. Trip mula memancing di laluan bot untuk mengumpul ikan Gelama. Laluan bot yang sibuk, menyukarkan kami memancing di samping keadaan yang amat bahaya. Kami mengubah haluan ke anak sungai yang telah di tandakan sebelum ini. Terdapat reba besar di dasar sungai. Saya mengusulkan supaya ikan Gelama yang ada di potong untuk dijadikan umpan bagi kegunaan joran besar. Manakala sisa udang tadi di jadikan umpan Gelama. Lain yang dicari, lain pula yang mengena. Mata apolo 3, berumpan sisa udang di sambar sekor Siakap Putih!

Lontaran 5 kaki dari dari tebing menghasilkan sesuatu yang tidak dijangka. Walaupun agak sukar ditumpaskan, 2 mata kail yang tersangkut di sirip bawah dan bibir, menyukarkan peluang untuk melepaskan diri. Saya juga terkejut bila ikan sudah timbul dipermukaan. Langsung saya tidak jangka sekor Siakap Putih.

 Begitu juga dengan Ikan Merah ini, juga menggunakan umpan yang sama. Terdapat satu ragutan kasar mengunakan umpan hirisan ikan, namun ikan berjaya melepaskan diri. Joran kecil dan lembut tidak sesuai untuk tugasan berat sebegini. Kebiasaannya ikan akan berjaya melarikan umpan ke reba dan melepaskan diri. Sayang sekali tangkapan besar bukan rezeki mereka.

 Selewak yang berada di lokasi sama juga dengan umpan sisa udang tadi. kebanyakan lokasi ini tidak berjaya menghasilkan tangkapan baik kerana keadaan angin kencang yang menyukarkan bot kami berlabuh. Keadaan ini berlanjutan sehingga ke lokasi kapal karam hingga terpaksa mengikat bot pada badan kapal tersebut. Namun tiada hasil baik kemudiannya.

 Antara pisau, umpan dan pengepit yang masing-masing saling berkait rapat..

 Tetanda di satu lokasi anak sungai.

Sekor Talang Kecil yang tidak pernah saya perolehi sebelum ini, tertipu dengan umpan udang hidup.
Trip bertolak pulang pada jam 7 malam setelah tiada tangkapan menarik dinaikkan. Terima kasih kepada mereka ini kerana memilih khidmat kami untuk memancing.



Isnin, 1 Julai 2013

Trip 30/6 Bersama En.Otc p.net dan Sahabat lama Amat Maulana

Trip yang telah di tempah awal ini, mulanya tidak mempunyai ahli yang mencukupi. Walaupun begitu, trip masih tetap diteruskan. Oleh kerana salah seorang rakan lama saya juga tidak dapat mencukupkan ahli pada hari sebelumnya, saya usulkan mereka berdua turun bersama pada kali ini dengan izin En.Otc p.net. Berbekalkan udang yang separuh mati di bawa oleh rakan saya Amat, nampaknya seperti kurang menyakinkan. Setelah berbincang dan dipersetujui, trip kali ini "survive" dengan yang ada saja. Bertolak pada jam 8 pagi menuju ke lokasi pertama di kawasan anak sungai, air pasang mengurangkan aktiviti ikan di kawasan terbabit.

 
Tidak semua lokasi berisi aktif ketika air pasang, kadangkala hanya sesuai ketika air surut. Namun kehadiran sang agas, banyak mengganggu aktiviti memancing kami. Berbintik muka, tangan dan kaki kami di cium agas. Apa boleh buat, ini tempat mereka.

 
 En.Otc sedang asyik memerhatikan joran..

 
4 tahun tak turun, gigitan Sang Agas umpama suntikan jarum ;)

Setelah lokasi kedua, hanya beberapa ekor Gerut dan Gelama, diiringi ikan Duri yang tidak putus-putus, tiada tangkapan menarik berjaya dinaikkan. Hanya seekor Tetanda sebesar tapak tangan yang di perolehi oleh En.Otc. Terdapat pokok mati di sekitar kawasan ini tenggelam di dasar sungai. Beberapa kali kail tersangkut, setelah umpan di ragut.

 
 Abang Otc rasa boleh kembang tak? Dah lama tak menjala ni..

 
 Bulan sabit pun boleh lah Mat, janji ada udang kat dalam..

Oleh kerana air baru mula surut, kami berubah ke lokasi muara sungai keluar ke Pulau Ketam. Ketika ini kami berjaya mengesan kedudukan reba di dasar sungai. Berdasarkan kepada maklumat dari tuan Otc, dulunya kerap mendapat Gelama bintik di lokasi ini. Di bawah adalah hasil di lokasi ini.

 Belukang 2.1 kg.

Rezki bagi yang rajin dan sabar menunggu, Gelama Belang 4.2 kg. Tak jadi nak pergi Mersing kan??


Selain itu, Sekor Gelama Belang kecil, Tetuka, Semilang dan Merah kecil baki kepada hasil tangkapan kami. Trip bertolak pulang pada jam 9 malam ke pengkalan. Terima kasih kepada En.Otc dari pancing,net kerana sudi menggunakan khidmat kami.

Jumaat, 28 Jun 2013

Trip Keluarga Menjejak Gelama Terbang.

Kebanyakan pemancing gemar turun hanya pada waktu air mati saja. Namun tidak bagi kami. Istilah tiada ikan ketika air besar adalah palsu sama sekali. Semuanya bergantung kepada rezki dan kemahiran masing-masing. Untuk kali ini, saya, Eboi, Acid dan Ibu bersama-sama turun menjejak tapak-tapak lama bagi memahirkan diri membaca keadaan air untuk memancing. Beberapa fakta yang boleh diguna pakai akhirnya membuahkan hasil. Bertolak pada jam 8 pagi, keadaan pasang besar menenggelamkan jambatan yang menghubungi jeti dan daratan. Trip terus dihalakan ke Pulau Ketam bagi menjimatkan masa. Berikut hasil tangkapan ketika itu.

 Gelama terbang 7kg hasil penantian seminggu kena tinggal hehehe..

Gelama terbang yang diidam-idamkan Eboi akhirnya tertewas, di lokasi yang hanya dalam 1 meter. Dengan umpan udang hidup, set kecil dan arus selaju peluru, berpeluh di buatnya. Lokasi ini berdekatan muara sungai kecil dan berpasir. Ramai yang kami lihat menjeling ketika melalui kawasan ini. Mungkin tidak yakin bahawa lokasi ini berpenghuni. Namun ikhtiar kami membuahkan hasil.

Selain itu terdapat juga Tebal Pipi, Merah dan Tetanda kecil yang berjaya di naikkan di laluan sungai. Lokasi ini menjadi kegemaran sahabat kami Abul ash ketika air mati. Terima kasih kerana sudi berkongsi maklumat ye sahabat.

Rasanya hasil sebegini sudah cukup membuatkan anda tersenyum. Kebanyakan hasil sisik yang kami perolehi berada di kedalaman kurang 1.5 meter. Sesuai dengan keadaan air besar ketika ini. Kepada pemancing yang ingin menduga lokasi seperti ini, sedikit pesanan kepada anda. Pastikan kawasan mempunyai arus dan air jernih sebelum memancing. Insyaallah, ada rezkinya nanti.

Rabu, 26 Jun 2013

Trip 25/6 En.Umar dan Rakan

Keadaan jerebu di sekitar Selangor sekarang amat membimbangkan. Jarak penglihatan yang kurang dan udara yang kurang menyenangkan. Kadangkala mata terasa pedih ketika mengharungi jerebu ini. Walaupun langit berjerebu, memancing masih diteruskan. Trip En.Umar dan rakan buat kali ketiga menjelajah kawasan lubuk di sekitar perairan PortKlang. Bertolak agak lewat sekitar jam 9 pagi, kami disambut dengan berita orang lemas di kawasan pengkalan dan mangsa masih belum ditemui. Pesanan kepada semua pemancing, hargai nyawa anda dan jangan melibatkan diri dengan aktiviti merbahaya sekitar kawasan ini. Keselamatan harus diutamakan.

Trip kami di teruskan dengan membeli umpan di kedai abg Comel, berikutan taukey di pengkalan tidak dapat dihubungi. Udang 160 ekor saiz kecil berharga Rm40 menjadi sajian ikan pada kali ini. Jom kita tinjau hasil mereka.(Gambar ihsan dari Fb En Umar)

Kerapu yang saya langsung tidak jangkakan meragut umpan kami. Di kawasan ini terdapat reba bersaiz besar yang baru di temui 3 hari sebelumnya. Namun pada hari tersebut tidak membuahkan hasil. Tetapi kali ini, memang rezki mereka..

Daun Baru juga di lokasi sama sejurus selepas Kerapu pertama dinaikkan.

Kalau sudah rezki, tak kemana. Kerapu lagi di lokasi sama. Saiz kecil tetapi tarikan memang bertenaga. Untung ada tangguk, kalau tidak tak tau lah nak buat macam mana.

Antara keseluruhan hasil yang berjaya dinaikkan, tidak banyak namun memuaskan hati. Maaf banyak-banyak kepada mereka ni kerana hanya ini hasil yang tak seberapa dapat saya adakan.

Air besar namun jernih di kawasan tertentu..

Walaupun air besar dan keruh, terdapat banyak lokasi yang boleh membuahkan hasil. Cuma bergantung kepada rezeki masing-masing dan usaha yang dijalankan. Tekong harus rajin dan berusaha sedaya mungkin bagi mengenalpasti lokasi sesuai. Trip pulang awal jam 7 malam atas faktor keselamatan. Terima kasih kepada mereka ni yang masih sudi menggunakan perkhidmatan kami.

Selasa, 18 Jun 2013

Operasi Menjejak Tapak Lama 2

Operasi menjejak kali ini disertai saya dan Komando_sg(Jemik) dengan bot 16 kaki dan enjin 30hp ke Pulau Ketam. Dengan bot dan enjin seperti ini, hari ini kami bergelar "Mat rempit". Bot ringan dengan kelajuan maksima hanya menggunakan rm25 minyak pergi dan balik. Namun begitu, kepakaran dan pengalaman sangat diperlukan untuk mengendalikan bot seperti ini. Memang laju tetapi sangat merbahaya jika dilambung ombak kapal.


Misi kali ini untuk menjejak tapak lama yang belum sempat saya kunjungi sebelum ini. Dengan umpan Kembung 2 kg, rasanya memang tidak mencukupi. Untuk itu, kami bercadang menjala udang ketika air surut nanti. Untuk lokasi pertama berdekatan sangkar, ikan Kembung potong yang di hulur Jemik dimakan seekor Senangin anggaran 1.5kg. Sayangnya ikan ini terlucut dari mata kail ketika ingin di tangguk. Dah di beri, dilepaskan.. Apa boleh buat, bukan rezki kami.. Setelah berpindah ke lokasi kedua, saya berjaya menaikkan seekor Kerapu kecil.

 Tersangkut di reba tetapi berjaya di tarik keluar. Habis perambut rosak dibuatnya. Inilah risiko memancing di reba, perambut perlu kasar dan kuat.

Malangnya jala telah tertinggal. Setelah di pertimbangkan, kami mengambil keputusan untuk terus "Survive" pada kali ini. Baki ikan Kembung yang ada kami potong kecil dan dijadikan umpan ikan Gelama dan Duri. Ikan ini kami potong kemudiannya untuk memancing. Tugas mencari Gelama saya serahkan kepada Jemik.

Hasil dari Gelama potong, Kerapu berjaya dinaikkan di sauh sangkar ini.

Banyak Kerapu kecil berjaya di tipu dengan umpan ini. Ketika berada di lokasi reba berdekatan sangkar, 5 ekor Kerapu saiz biasa berjaya dinaikan. Namun setelah hampir malam, seekor Merah berjaya saya naikkan. Ini membuktikan bahawa kata-kata ikan tidak makan malam di Pulau Ketam adalah tidak benar sama sekali.

Ikan Merah 2.6kg yang berjaya saya naikkan di lokasi ke 4 sangkar. Cukup seksa nak menaikkan dia ni, dengan set kecil. Nasihat saya kepada semua pemancing, guna perambut kasar dan joran sesuai bagi trip di kawasan ini.

Hasil keseluruhan pada operasi kali ini, agak mengejutkan. Namun ilmu dan pengalaman yang diperolehi tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.